TUDM siasat pesawat kena baling penduduk Padang

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Misi bantuan Malaysia dikatakan tak disenangi segelintir masyarakat

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menyiasat insiden pesawat pengangkut C-130 Hercules dibaling dengan batu oleh penduduk Padang, ketika melaksanakan misi menyelamat dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dilanda gempa bumi itu, baru-baru ini.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Rodzali Daud, berkata tindakan itu boleh dilihat seolah-olah kehadiran pesawat Malaysia kurang disenangi segelintir masyarakat di kawasan terbabit.

"Kita menerima laporan bahawa pesawat C-130 Hercules dilempar batu ketika melaksanakan misi menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa bencana baru-baru ini.

"Bagaimanapun TUDM menerima kejadian itu dengan rasional dan memastikan anggotanya tidak terikut-ikut dengan tindakan segelintir penduduk tempatan terhadap aset serta anggota yang dikerah ke sana.

"Kita pergi ke tempat yang mengalami darurat atau bermasalah, maka kita tidak mahu menimbulkan lagi masalah lain. Apa yang perlu kita buat ialah membuat siasatan kerana sudah ada laporan.

"Namun, kita akan mengambil langkah yang sewajarnya supaya kejadian berkenaan tidak berulang. Memandangkan operasi masih berjalan, kita akan melaksanakannya sehingga selesai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kongres Perubatan Ketenteraan Sedunia (WCMM) ke-38 di sini, semalam yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Rodzali mengulas laporan pesawat C-130 Hercules dilempar batu dan dihalang mendarat oleh segelintir penduduk Padang yang dikatakan masih berang terhadap Malaysia berhubung isu tarian Pendet.

Pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, satu-satunya lapangan terbang komersial yang masih beroperasi di Padang.

Beliau berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangat anggota dan pegawai TUDM bertugas kerana mereka memikul tanggungjawab yang sudah diamanahkan kerajaan bagi membantu negara jiran yang dilanda bencana.

Sementara itu, Ahmad Zahid menganggap tindakan sekumpulan kecil penduduk Padang membaling batu pada pesawat TUDM itu sebagai permainan budak-budak nakal.

"Di sana mungkin ada budak-budak nakal, namun kita tetap mengutamakan semangat saudara serumpun. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Maka, kita akan meneruskan operasi sehingga keadaan di sana tenang dan kembali seperti sedia kala," katanya.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menghantar 53 orang lagi ke Padang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan, petang semalam.

Salahkah kami membantu orang yang senafas Islam..
fikir-fikirkan lah..

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati