Assalamualaikum..
Kita merancang, Allah menentukan..
Setiap yang hidup pasti pergi..
Setiap yang nyawa pasti akan merasa mati..
mati menjemput kita, ditempat yang tak terduga..
Seperti dari Rasulullah S.A.W, yang paling dekat dengan kita itu mati..
Maka bersedialah wahai sahabat....

Ibu, bayi maut dalam nahas di Machang

MACHANG: Seorang wanita dan bayinya berusia lima bulan maut, manakala suami dan dua lagi anak mereka parah apabila kereta yang mereka naiki merempuh penghadang jalan di Kilometer 47.5 Jalan Kuala Krai-Kota Baharu dekat Pangkal Petai di sini, awal hari ini. 

Rusnira Ariffin, 32, yang tersepit dalam kereta itu, mati di tempat kejadian dengan bayinya, Mohd Adam Danish Mohd Khairul Anwar, mati dalam pelukan. 

Suaminya, Mohd Khairul Anwar Mohammad, 36, dan dua lagi anak mereka Mohd Aniq Dania, 9, dan Mohd Airiq Darwish, 7, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Baharu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, ASP Loo Lian Lay, berkata nahas berlaku pada jam 3.20 pagi ketika keluarga itu yang tinggal di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, dalam perjalanan pulang ke kampung di Wakaf Baharu di sini. 

"Mohd Khairul Anwar yang juga anggota tentera berpangkat Sarjan mahu menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung kerana beliau akan menyertai latihan ketenteraan di Melaka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata, kereta Proton Waja yang dipandu Mohd Khairul Anwar dikatakan terbabas sebelum merempuh penghadang jalan menyebabkan kereta yang dinaiki keluarga terbabit remuk teruk.

"Anggota polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Machang mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dan mayat mereka dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya. 

Loo berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk. 

Sementara itu, kakak Rusnira, Rosniza Ariffin, 39, berkata keluarganya mengetahui kemalangan itu pada kira-kira jam 4 pagi selepas menerima panggilan orang ramai yang menghubungi mereka. 

"Kami bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas mengetahui berita itu dan sedih melihat Rusnira bersama bayinya mati dalam keadaan tersepit," katanya yang terkilan kerana hajat untuk bercuti bersama selama seminggu bertukar tragedi ngeri.

Rosniza berkata, kali terakhir beliau menemui adiknya itu ialah kira-kira lima bulan lalu ketika dia melahirkan bayinya itu. 

Beliau berkata, Rusnira sempat menghubunginya pada kira-kira jam 9 malam Rabu untuk memberitahunya yang mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Besi. 

"Sehingga petang ini, adik ipar saya dan dua lagi anaknya masih tidak diberitahu mengenai kematian isteri dan bayinya kerana bimbang keadaan mereka yang masih belum stabil. 

"Arwah Rusnira dan bayinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Bharu selepas solat Asar," katanya. - Bernama 

berita harian - 5/6/2009


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati